Friday 13 August 2010

Wabak atau Murka Allah SWT??


Bismillahirrahmanirrahiim.... Alhamdulillah ke hadrat Ilahi.... Selawat dan salam buat Junjungan Nabi Muhammad SAW.... Sempena bulan yang penuh barakah ini.... Dalam entri ini ingin ana kongsikan masalah yang berlaku di Malaysia baru-baru ini....

Virus kencing tikus menggemparkan negara, baru-baru ini sehingga orang ramai bimbang berkunjung ke pusat rekreasi seperti sungai dan air terjun. Penyakit kencing tikus atau leptospirosis itu mendapat perhatian orang ramai kerana lapan orang meninggal dunia akibat jangkitan itu selepas menyertai operasi menyelamat di Lubuk Yu, Maran, Pahang. Penyakit itu disebabkan bakteria Leptospira. Ia tersebar melalui cecair yang dikeluarkan oleh tikus seperti air kencing, air liur, air mani, darah, dan najis.

Walaupun dipanggil virus air kencing tikus, ia bukan saja merebak melalui tikus tetapi haiwan lain seperti babi, burung, landak, kelawar, kambing, kuda, anjing dan tupai. Kehadiran virus itu tanpa tanda amaran menimbulkan tanda tanya dan pengajaran kepada manusia. Sebenarnya Allah menurunkan wabak itu untuk menguji hamba-Nya tetapi ramai yang masih berdegil. Allah berfirman yang bermaksud: "Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia; Timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka kembali insaf dan bertaubat." (Surah ar-Rum ayat 41).

Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa mengamalkan kebersihan dalam semua perkara yang membabitkan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kebersihan itu sebahagian daripada iamn." (Hadis riwayat Ahmad, Muslim, Tarmizi dan Ibnu Majah). Selain itu, kita hendaklah membersihkan diri daripada mensyirikkan Allah SWT, kekufuran dan perkara yang boleh membawa kepada dosa. Islam sangat mengambil berat aspek kebersihan ini justeru sebelum bersolat, kita wajib membersihkan diri dan batin daripada segala sifat kotor.

Kenapa kita semua perlu menjaga persekitaran alam sekitar dari pencemaran dan kemusnahan? Ia penting dalam usaha menjadikan lam sekitar menjadi bersih. Selain kotor, tempat rekreasi turut menjadi 'port' bagi pasangan yang melakukan maksiat termasuk berzina sedangkan ia adalah kawasan tumpuan orang ramai. Perunding motivasi dan pendakwah, Mohd Zawawi Jusoh berkata, Allah mahu menguji dan menyedarkan kita manusia supaya insaf atas kesalahan mereka dengan datangnya penyakit serta ujian (ibtila'). "Allah menimpakan bala kepada sesiapa sahaja tanpa mengira di mana mereka berada, berdosa atau pun tidak".

"Penyakit virus kencing tikus yang meragut beberapa nyawa sebelum ini perlu dijadikan iktibar supaya manusia kembali merenung kesalahan yang dilakukan terhadap diri, keluarga dan masyarakat," katanya. Mohd Zawawi berkata, selain daripada penyakit yang dibawa oleh binatang kemungkinan ia datang daripada makhluk lain yang tidak diketahui. "Allah boleh jadikan binatang sebagai sumber penyakit selepas murka dengan kemungkaran yang manusia lakukan. Boleh jadi ia juga berpunca daripada campur tangan jin jahat yang berbuat sedemikian, katanya."

Beliau berkata, apa yang penting manusia perlu kembali bertaubat dengan dosa yang mereka lakukan. "Sesuai sekali dalam kita menyambut Ramadhan yang penuh keberkatan ini, umat Islam perlu mengambil peluang bertaubat dan memohon keampuanan daripada Allah SWT. "Segala yang menimpa masyarakat dan negara kita adalah peringatan daripada Allah supaya kita kembali mentaati perintah-Nya untuk menjadi khalifah yang sentiasa menyuburkan muka bumi ini dengan amal makruf, katanya."

Mohd Zawawi berkata lagi, faktor kebersihan perlu dititikberatkan dan diamalkan dalam setiap aktiviti yang dilakukan. Kebersihan diri adalah ciri penting untuk membentuk personaliti Muslim cemerlang. Persekitaran yang bersih merangkumi kawasan hutan dan sungai. Jangan biarkan sungai tercemar kerana ia akan mengakibatkan berlakunya pencemaran dan keracunan air, katanya."

Kesimpulan daripada ana sendiri.. Amar makruf nahi mungkar sebelum Allah menurunkan pelbagai penyakit di zaman ini... Pintu taubat masih terbuka buat kita semua... Sempena bulan yang penuh barakah ini, marilah sama-sama kita mengambil peluang untuk beribadah dan memohon keampunan daripada-Nya dan dapat diteruskan sehingga ke akhir hayat kita buat bekalan di sana kelak..

Artikel asal: Harian Metro Online, bertarikh: 13 Ogos 2010.

No comments:

Post a Comment