Showing posts with label ilmu Qiraat. Show all posts
Showing posts with label ilmu Qiraat. Show all posts

Saturday, 16 January 2010

HUBUNGAN ILMU QIRAAT DALAM ILMU SYARIAH

Sebelum ini, ana menerangkan apa itu ilmu qiraat. Kali ini, ana akan menerangkan hubungan ilmu qiraat dengan ilmu syariah. Antara yang terkandung di dalam hubungan ilmu qiraat dengan ilmu syariah ialah kepentingan mempelajari ilmu qiraat dalam ilmu syariah dan penggunaan ilmu qiraat di dalam ilmu syariah.

FASAL 1 : KEPENTINGAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT DALAM ILMU SYARIAH

Mempelajari ilmu qiraat dalam ilmu syariah mempunyai kepentingan dan peranannya yang saling berkaitan. Qiraat adalah satu ilmu yang sangat penting dan mempunyai peranannya yang tersendiri. Antara kepentingan dan peranannya ialah ahli fuqaha’ (ahli fiqh) untuk mendapatkan hukum. Qiraat menjadi dasar penting dalam bidang ilmu fiqh kerana untuk mengetahui atau menentukan sesuatu hukum mestilah mempelajari ilmu qiraat terlebih dahulu.

Mempelajari ilmu Qiraat dalam ilmu syariah penting dengan penggunaan nas-nas syara' di dalam al-Qur'an terhadap hukum yang bersifat umum (kulli) yang diutamakan dan kemungkinan nas-nas tersebut untuk menerima pelbagai pemahaman. Penggunaan nas-nas ini juga merupakan faktor keluasan dan kehebatan yang terdapat dalam syariat Islam. Ini adalah pandangan bagi Yusuf al-Qardhawi yang merupakan seorang professor yang diiktiraf sebagai pemikir Islam dan ulama' kontemporari.

Selain itu, kepentingan ilmu Qiraat sebagai keperluan asasi bagi pelaksanaan syariat Islam. Asasi bagi pelaksanaan yang perlu dilakukan bagi melaksanakan syariat Islam ialah salah satu daripada berkaitan dengan peranan al-Qur'an iaitu pelaksanaan ajaran Islam secara menyeluruh berdasarkan al-Qur'an dan as-Sunnah. Kesimpulan yang boleh dibuat ialah pentingnya peranan ilmu Qiraat dalam ilmu syariah bagi ahli fuqaha' untuk menentukan sesuatu hukum. Sesungguhnya ilmu Qiraat sebahagian ilmu al-Qur'an dan merupakan ilmu yang sangat luas.

FASAL 2 : PENGGUNAAN ILMU QIRAAT DALAM ILMU SYARIAH

Penggunaan ilmu Qiraat dalam ilmu syariah amat luas digunakan oleh ahli Fuqaha' untuk mendapatkan hukum melalui bacaan imam-imam Qiraat. Bukan sahaja ulama' fiqh malah ulama' tafisr, ulama' hadis ahli nahu dan sebagainya.

Dalam fasal ini, akan diterangkan penggunaan al-Qur'an sebagai sumber hukum. Tentu sekali keaslian ayat-ayat al-Qur'an ini boleh diyakini dan merasai kepastian ianya diriwayatkan kepada kita dalam bentuk yang asal sebagaimana al-Qur'an diturunkan dari Allah S.W.T. melalui perantaran malaikat Jibril A.S. kepada Nabi Muhammad S.A.W. Ini kerana ianya disampaikan kepada kita secara mutawattir, baik secara lisan atau penulisan. Sebagai hasil dari kedudukan dan sifat tersebut, al-Qura'an adalah suatu sumber hukum yang paling berautoriti alam Islam.

Ini kerana apabila ketetapannya daripada Allah S.W.T. mestilah ditaati dalam setiap masa. Walaubagaimanapun pengertian ayat-ayat al-Qur'an tersebut tidak semuanya jelas. Bahkan ada yang jelas (قطعية الدلاة) dan kurang jelas (ظنية الدلالة), seperti dalam firman Allah S.W.T. mafhumnya yang berbunyi :

" Dan orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka selama-lamanya; " ( Surah an-Nuur; 24:4).

Dalam ayat ini, perkataan 'lapan puluh' itu sangat jelas maksudnya. Begitu juga dengan perkataan 'selama-lamanya'. Ayat di atas berlainan dengan ayat-ayat lain yang kurang jelas maksudnya. Seperti perkataan 'quru' dalam firman Allah S.W.T. mafhumnya yang berbunyi:

" Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (quru')." (Surah al-Baqarah; 2:228)

Maksud tiga kali suci itu adalah haid daripada perkataan 'quru' tersebut. Oleh itu, pengertian tersebut adalah zanni atau kurang jelas. Tetapi tidak semua ayat-ayat al-Qur'an seperti firman-firman di atas. Dengan ilmu Qiraat jugalah dapat membantu ulama Fuqaha'.

Al-Qur'an menggunakan pelbagai gaya untuk menerangkan sesuatu hukum. Antaranya ialah memberi keterangan secara keseluruhan (kulli) iaitu dengan menyebut kaedah dan prinsip umum yang akan menjadi asas kepada hukum-hukum yang lebih terperinci. Selain itu, menerangkan hukum secara umum (ijmal) sehingga memerlukan keterangan dan perincian yang lebih lanjut. Seterusnya, keterangan secara lebih terperinci atau tafasili yang terdapat pada ayat-ayat menegenai hukum aqidah dan akhlak.

FASAL 3 : HIKMAH DAN FAEDAH

Impak ilmu qiraat dalam ilmu syariah mempunyai kesan yang membawa kebaikan yang sangat besar. Sama ada faedah itu dapat dirasakan atau sebaliknya. Begitu juga dalam perkara ibadat yang merupakan bidang ilmu syariah, ada yang dapat difikirkan dan sebaliknya. Impak ilmu qiraat dalam ilmu syariah amatlah bernilai bagi umat Islam seluruhnya.

Antara kesan kebaikannya ialah kita dapat menerangkan hukum yang telah diijma'kan. Contohnya ayat hukum tentang harta pusaka. Di dalam ilmu qiraat ada bacaan yang menerangkan tentang saudara lelaki dan perempuan dari pihak bapa atau ibu. Maka diterangkan qiraat oleh Saad bin Waqas bahawa saudara lelaki sebelah ibu walaupun qiraatnya adalah syaazah. Berikut maksud ayat tentang keterangan tersebut. Firman Allah S.W.T. Maksudnya:

" Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada sepertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan)." (Surah
an-Nisa', 4:12)

Kesan yang lain pula, menguatkan hukum yang khilaf. Selain itu, bagi memudahkan hafalan dan ingatan serta mudah diterima oleh umat Islam kerana ia mempunyai pelbagai bidang ilmu. Ia juga dapat menunjukkan kelebihan dan kemuliaan umat nabi Muhammad S.A.W. kepada umat yang lain.

Akhir sekali, dapat memahami segala aspek yang terkandung di dalam al-Qur'an dengan lebih luas dan mendalam terutamanya ilmu syariah di dalam ilmu qiraat dan al-Qur'an yang saling berkaitan. oleh itu, sesungguhnya banyak lagi impak kebaikan dalam ilmu syariah. Wallahua'alam... Andaikata ada tersilap kata di dalam penulisan ini atau sebarang komen, ana alu-alukan untuk dikongsikan bersama. Sesungguhnya ana bukanlah dari golongan yang bijak pandai hanya sekadar berkongsi ilmu apa yang ana telah kaji dan mengolah melalui sebahagian sumber rujukan kitab-kitab dari timur tengah. Mudah-mudahan dapat dimanfaatkan kepada semua lapisan masyarakat dan keredhaandari Allah S.W.T.. amiin.. InsyaAllah..!!

Thursday, 24 December 2009

ILMU QIRAAT


Bismillahirrahmanirrahiim.. Ana pernah berniat sebelum membuat blog ini pada mulanya untuk berkongsi sedikit sebanyak tentang ilmu qiraat yang ana ceburi sehingga kini. Alhamdulillah, dapat juga ana update blog ini dengan fikrah yang baru. Yang mana ana sudah lama ingin kongsikan bersama kalian. Ana minta maaf banyak-banyak kerana sudah lama tidak update blog ini. Maklumlah ana baru tahun satu di Mesir, timetable full sangat.

PENDAHULUAN
Ilmu pengajian qiraat adalah satu-satunya ilmu yang terpenting bagi mereka yang mempelajari dan membahas kandungan al-Qur’an dan menghafalnya. Al-Qiraat diberi keutamaan kerana ianya secara langsung membahaskan perkara-perkara yang ada kaitan dengan kalamullah. Dengan itu ilmu tersebut kita akan dapat merasai mu’jizat al-Qur’an dari segi huruf dan lafaz yang baik dengan memahami didalam bahasa Arab yang indah. Sehingga tidak boleh ditandingi oleh sasterawan-sasterawan Arab ketika itu dan di masa kini.

Ilmu qiraat merupakan asas-asas yang terlalu penting bagi ulama’ terdahulu di dalam kajian dan penyelidikan mereka untuk memahami al-Quran. Pada masa kini ilmu al-Qur’an dan qiraat sudah mula diminati oleh masyarakat Islam, yang pada mulanya kurang diminati kerana mereka menyangka ianya tidak memberi hasil yang lumayan dan jarang diketengahkan. Mengikut sejarah perkembangan ilmu al-Qur’an dan kemasukan ilmu qiraat ke Malaysia telah berlaku pada awal 70-an. Kemasukan ilmu ini telah dibawa oleh pelajar-pelajar yang pulang dari Mekah al-Mukarramah. Tidak dinafikan bahawa sebelum itu telah wujud ilmu qiraat di Malaysia, tetapi hanya sebilangan kecil sahaja bukan secara meluas. Sehingga sesiapa yang membaca qiraat ketika itu dianggap salah kerana orang ramai tidak ada pendedahan dan motivasi mengenai ilmu qiraat.

Pembangunan dan perkembangan ilmu al-Qur’an dan qiraat pada masa kini telah mendorong pihak kerajaan untuk membuka dan membina pusat-pusat pengajian al-Qur’an dan Maahad Tahfiz al-Qur’an di seluruh Malaysia. Selain itu, kewujudan pusat-pusat pengajian swasta yang tumbuh bagaikan cendawan serta turut menyokong perkembangan ilmu al-Qur’an. Selepas terdirinya Pusat Pengajian al-Qur’an di Pusat Islam Kuala Lumpur, ilmu qiraat mula berkembang di Malaysia. Dengan perkembangan tersebut, telah memberi peluang kepada orang ramai menampilkan diri untuk mengenali dan mempelajari ilmu qiraat ini.

TAKRIF QIRAAT DARI SEGI BAHASA DAN ISTILAH
1.1 BAHASA
Takrif qiraat dari segi bahasa merangkumi dua pendapat. Pendapat yang pertama ialah qiraat didatangkan dengan maksud bacaan iaitu himpunan huruf dan kalimah-kalimah yang sempurna. Qiraat pada asalnya dari kata terbitan iaitu qaraa (قرأ), qiraah (قراءة) dan qur’anan (قرآنا) atas wazan fu’lan (فعلان) seperti ‘ghufran’, ‘syukran’ dan lain-lain lagi. Perkataan Qiraat itu berbentuk masdar dengan isim maf’ul iaitu maqru’ (dibaca). Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, kalian boleh rujuk dalam kitab Nafhaat min Ulum Al-Qur’an yang dikarang oleh Mohd Ahmad Ma’bad. Firman Allah S.W.T. di dalam surah Al-Qiyaamah, 29:17-18.
Maksudnya:
“Sesungguhnya Kami-lah yang berkuasa mengumpulkan al-Qur’an itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu). Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaanya (kepadamu dengan perantaraan jibril, maka bacalah menurut bacaannya itu.”

Pendapat yang kedua, qiraat jama’ atau himpunan dari perkataan qiraah (قراءة) ; dari perkataan asal qaraa (قرأ), bagi pendapat salaf pula menjelaskan lafaz qiraah dalam nas al-Quran yang sempurna untuk memberi keterangan tentang kehilangan al-Qura’ (القرّاء). Qiraah dalam bahasa ialah jama’ atau himpunan, setiap sesuatu himpunannya adalah qiraah ; dinamakan al-Qur’an kerana himpunan yang merangkumi ayat-ayat yang berbentuk cerita, perintah, larangan, perjanjian dan sebagainya dalam sebahagian surah-surah di dalam al-Qur’an. Boleh Lihat Mohd. al-Habsy, Al-Qiraat Al-Mutawattirah, (Damsyik, Darul Fikr: Cetakan pertama, 1999), m/s 32.

Menurut Dr. Syi’yan Muhammad Ismail dalam kitabnya Al-Qiraat Ahkamuha wa Masdaruha pula, qiraat adalah jama’ kepada kalimah qaraa (قرأ), iaitu pada asal adalah masdar qa raa (قرأ). pendapat yang lain, qaraa fulan (قرأ) ( baca si fulan), yaqra’u (يقرأ) iaitu dia baca dan qiraah (قراءة) iaitu bacaan. Daripada pengertian-pengertian yang telah disebutkan tadi, dapatlah disimpulkan bahawa qiraat dari segi bahasa membawa maksud ‘bacaan-bacaan’ yang berasal dari kata terbitan qaraa (قرأ), qiraah (قراءة) dan qur’anan (قرآنا).

1.2 ISTILAH

Takrif qiraat dari segi istilah mempunyai beberapa maksud antaranya ialah menurut Abdul Fattah Al-Qodi dalam penulisannya, Al-Budur Az-Zaahirah. Qiraat ialah ilmu yang membincangkan tentang kalimah-kalimah al-Qur’an dan keadaan kalimah tersebut seperti panjang, pendek dan sebagainya. Bagi pendapat Ustaz Hj. Mohd Nazri Abdullah, qiraat ialah salah satu ilmu dari cabang-cabang ilmu yang ada hubungan dengan al-Qur’an yang sewajarnya diberi perhatian yang serius. Semenjak penurunan wahyu yang merupakan satu-satunya sumber pengambilan qiraat hingga kini yang sentiasa dijaga, dipelajari, disuburkan dan diperkembangkan oleh ulama’ yang silih berganti.

Manakala daripada sumber lain pula, ilmu qiraat merupakan semulia-mulia ilmu kerana mempunyai kaitan yang rapat dengan al-Qur’an dan hukum mempelajarinya adalah fardhu kifayah. Proses pengajian dan pembelajaran ilmu qiraat ini mestilah diambil daripada guru yang sanadnya sampai kepada Rasulullah S.A.W. kerana al-Qur’an dan qiraat merupakan sunnah muttaba’. Menurut Syi’yan Muhammad Ismail dalam Al-Qiraat Ahkamuha wa Masdaruha, qiraat ialah suatu ilmu yang membincangkan tentang kalimah-kalimah al-Qur’an yang khilaf dan keadaan kalimah-kalimah tersebut.

Oleh yang demikian, secara purata qiraat dari segi istilah membawa maksud suatu cabang ilmu yang membincangkan tentang perbezaan bacaan al-Qur’an antara imam-imam Qura’.


PERBEZAAN ISTILAH QUR’AN DAN QIRAAT
2.1 QUR’AN

Al-Qur’an ialah kalam Allah yang merupakan mu’jizat yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. di dalam bahasa Arab melalui Jibril A.S., selama 23 tahun iaitu 10 tahun di Mekah al-Mukarramah dan 13 tahun di Madinah al-Munawwarah disusun di dalam mushaf yang bermula daripada surah al-Fatihah sehingga berakhir dengan surah an-Nas dan telah diriwayatkan secara mutawaatir serta membaca setiap hurufnya adalah dikira sebagai satu ibadah. Sila rujuk Syi’yan Muhammad Ismail, Al-Qiraat Ahkamuha wa Masdaruha dan Al-Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman As-Suyuti dalam Al-Itqan fi Ulum Qur’an.

2.2 QIRAAT

Seperti mana yang telah disebutkan di atas tadi, al-Qiraat ialah suatu ilmu untuk mengetahui cara membaca kalimah-kalimah al-Qur’an tentang kekhilafan pada lafaz-lafaz wahyu dalam huruf al-Qur’an dan membincangkan bagaimana sebutannya dari lafaz-lafaz yang ringan, berat dan sebagainya.

2.3 PERHUBUNGAN QUR’AN DAN QIRAAT

Sebagaimana al-Quran, begitu juga dengan qiraat. Ia diturunkan dengan lafaz dan nasnya. Ia diturunkan oleh Allah S.W.T ke atas Rasulullah S.A.W. dan disampaikan kepada kita beserta dengan cara-cara membacanya bertepatan dengan apa yang diajarkan oleh malaikat Jibril A.S.. Manakala, perbezaan bacaan menurut rawi-rawi adalah bersandarkan kepada sanad yang sahih yang sampai kepada Rasulullah S.A.W..

Menurut pendapat imam Badruddin Az-Zarkasyi di dalam kitab al-Burhan al-Qur’an dan al-Qiraat adalah dua hakikat yang berbeza. Al-Quran adalah wahyu yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad S.A.W. yang menjadi mu’jizat penerangan, sedangkan qiraat pula adalah perbezaan dari segi lafaz sebutan wahyu dan bagaimana cara membaca. Ia mestilah diambil secara talaqi dan musyafahah. Pendapat ini disokong oleh sesetengah ulama’ seperti al-Qastilaani dan Syeikh Ahmad Bin Muhammad Ad-Dimyaati. Lihat, Syi’yan Muhammad Ismail, Al-Qiraat Ahkamuha wa Masdaruha, (Mesir, Darul Salam: Cetakan kedua, 1999), m/s: 21.

Bagi pendapat Doktor Muhammad Salim Muhaisin dalam penulisannya iaitu Rihab Al-Qur’an Al-Karim, al-Qur’an dan qiraat itu adalah dua hakikat yang satu. Ini dilihat berdasarkan kepada pengertian al-Qur’an dan qiraat yang sama dari pengambilan masdar juga. Tetapi bagi pendapat Ustaz Mohd Rahim Jusoh dalam Pengenalan Ilmu Qiraat, yang menyatakan adanya perbezaan di antara al-Qur’an dan qiraat adalah kurang tepat. Kerana sebenarnya, al-Qur’an dan qiraat adalah wahyu yang dikombinasikan menjadi satu. Walau bagaimanapun ada juga perbezaannya iaitu dari segi umum dan segi khusus. Al-Qur’an merupakan suatu yang umum, manakala qiraat adalah khusus. Namun begitu, ia adalah perkara yang satu. Walaupun pada peringkat awal wahyu diturunkan pada satu huruf sahaja dan diikuti beberapa huruf yang lain sehingga wafatnya Rasulullah S.A.W..