Saturday 5 December 2009

HUBUNGAN MB DENGAN BIAH SOLEHAH

Ana dan adik-beradik muzakarah berkelompok (MB) ditaklifkan untuk membuat takliq tentang “Hubungan Biah Solehah Dalam Muzakarah Berkelompok” pada hari Jumaat bertarikh 20 November 2009. Berikut adalah pendapat yang ana telah rangkakan terlebih dahulu kemudian huraian yang terperinci berdasarkan rangkaan tersebut.

HUBUNGAN BIAH SOLEHAH DALAM MUZAKARAH BERKELOMPOK

  • DEFINISI BIAH SOLEHAH DAN MUZAKARAH BERKELOMPOK
  • KEPENTINGAN MEWUJUDKAN BIAH SOLEHAH DALAM MUZAKARAH BERKELOMPOK

DEFINISI BIAH SOLEHAH DAN MUZAKARAH BERKELOMPOK

Biah Solehah ialah suasana yang dipayungi oleh Allah S.W.T. iaitu suasana yang penuh dengan pengisian yang boleh mendatangkan faedah kepada semua orang dan ke arah memantapkan pembentukan syaksiah. Contohnya mengadakan majlis atau muzakarah ilmu dengan niat kerana Allah S.W.T. Manakala Muzakarah Berkelompok ialah perbincangan secara berkumpulan iaitu perbincangan tentang manhaj yang dibawa dalam kumpulan atau perkara-perkara yang berkaitan dengan isu semasa, perkara peribadi dalam ahli kumpulan. Muzakarah berkelompok dengan kata lain sama juga dengan usrah.

KEPENTINGAN MEWUJUDKAN BIAH SOLEHAH DALAM MUZAKARAH BERKELOMPOK

Untuk mewujudkan biah solehah dalam muzakarah berkelompok, sebagai daie kita mestilah perbetulkan diri dahulu sebelum menyeru atau menyampaikan dakwah kepada mad’u supaya biah di dalam muzakarah berkelompok dapat direalisasikan dengan baik. Selain itu, tidak lain tidak bukan untuk mendapatkan keberkatan dalam bermuzakarah berkelompok iaitu melazimkan dengan memulakan ummul kitab al-fatihah, membuat tadarus al-Quran, melazimi zikrullah dan sebagainya. Secara tak langsung para malaikat turun bersama-sama dengan membuka sayapnya dalam muzakarah berkelompok.

Dalam biah muzakarah berkelompok juga boleh melahirkan pemikir-pemikir Islam yang sangat hebat dalam bermuzakarah berkelompok bagi memartabatkan kesyumulan Islam di atas muka bumi ini. Berdasarkan suasana yang dibina nabi Muhammad S.A.W. bawa untuk mendidik para sahabat sehingga mereka semua lahir sebagai manusia yang sangat tinggi sifat tanggungjawabnya terhadap amanah Islam dan pengabdiannya kepada Allah S.W.T. secara iltizam dan istiqamah. Begitu juga biah yang diterapkan dengan biah yang sentiasa mekar, ceria, sakinah, mawaddah setiap kali berjumpa. Serta menjaga adab-adab bermuamalah dengan dihiasi akhlak-akhlak Islam dengan penuh istiqamah dan tidak melampaui batas.


Jika pendapat ana ada kekurangan dan perlu ditambah, ana mengalu-alukan sahabat2 dan sahabiah2 memberi ransangan yang membina buat ana dan semua pembaca blog ini. Selain itu, ana juga ditaklifkan untuk membentangkan hadis yang pertama daripada hadis 40 dalam kitab ‘al-Wafi’ oleh imam Nawawi. Di sini ana ingin kongsikan bersama buat semua pembaca blog ana. Hadis yang pertama ialah hadis tentang semua amalan adalah dengan niat.
 عَنْ أمِيرِ المُؤْمِنِينَ أَبِىْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الخطَاب رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ: إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئِ مَّا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ 

Maksudnya: Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar bin al-Khattab R.A. katanya: “Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat dan setiap orang mendapat (pahala) berdasarkan apa diniatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kerana apa yang dia niatkan.” Hadis ini telah diriwayatkan oleh kedua-dua Imam Muhaddithin iaitu Abu Abdullah bin Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah al-Bukhari dan Abu Husain Muslim bin al-Hujaji bin Muslim al-Qusairi al-Naisaburi di dalam kitab sahih kedua-duanya yang mana ia merupakan kitab yang paling sahih.

Selain itu, hadis ini diriwayatkan juga oleh imam Bukhari dalam kitab ‘Iman’ pada awal kitab tersebut dan imam Muslim pula meriwayatkan di dalam kitab ‘Imaarah’ yang menerangkan bahawa semua amalan adalah dengan niat yang baik dan setiap orang akan mendapat pahala mengikut niatnya. Hadis ini merupakan antara hadis yang paling penting. Menjadi paksi kepada putaran Islam dan asas kepada Islam. Kebanyakan hukum hakam Islam bersandarkan kepada hadis ini. Ini jelas dapat dilihat daripada kata-kata para ulama’. Menurut Imam Abu Daud berkata : “Sesungguhnya hadis ini iaitu hadis bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat adalah separuh daripada Islam, kerana ad-diin itu dua perkara, sama ada ianya perkara zahir (amalan) atau yang batin (niat).


Bagi Imam Ahmad dan Imam Syafi’e pula berkata : “Di dalam hadis mengandungi satu pertiga ilmu. Sebabnya ialah kerana usaha seseorang itu adalah sama ada dengan hati , lidah atau anggota tubuh badannya. Maka niat dengan hati adalah salah satu dari tiga pembahagian tersebut. Kerana itulah para ulama’ suka memulakan kitab-kitab serta penulisan mereka dengan hadis ini. faedah pembukaan dengan hadis ini ialah sebagai peringatan kepada penuntut ilmu agar mengikhlaskan niatnya semata-mata kerana Allah S.W.T. di dalam menuntut ilmu dan melakukan amalan kebaikan.

Sebab hadis ini dilafazkan ialah Imam at-Tobaraani telah meriwayatkan di dalam kitabnya al-Mu’jam al-Kabiir dengan rantaian perawinya yang siqah daripada Ibnu Mas’ud r.a., beliau berkata “Terdapat di kalangan kami seorang lelaki yang meminang seorang perempuan yang dikenali sebagai Ummu Qais. Perempuan tersebut enggan mengahwininya kecuali apabila lelaki tersebut berhijrah ke Madinah. Lelaki tersebut pun berhijrah dan mengahwini perempuan tersebut. maka kami menamakannya sebagai ‘Penghijrah Ummu Qais’.

No comments:

Post a Comment