Saturday, 16 January 2010

HUBUNGAN ILMU QIRAAT DALAM ILMU SYARIAH

Sebelum ini, ana menerangkan apa itu ilmu qiraat. Kali ini, ana akan menerangkan hubungan ilmu qiraat dengan ilmu syariah. Antara yang terkandung di dalam hubungan ilmu qiraat dengan ilmu syariah ialah kepentingan mempelajari ilmu qiraat dalam ilmu syariah dan penggunaan ilmu qiraat di dalam ilmu syariah.

FASAL 1 : KEPENTINGAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT DALAM ILMU SYARIAH

Mempelajari ilmu qiraat dalam ilmu syariah mempunyai kepentingan dan peranannya yang saling berkaitan. Qiraat adalah satu ilmu yang sangat penting dan mempunyai peranannya yang tersendiri. Antara kepentingan dan peranannya ialah ahli fuqaha’ (ahli fiqh) untuk mendapatkan hukum. Qiraat menjadi dasar penting dalam bidang ilmu fiqh kerana untuk mengetahui atau menentukan sesuatu hukum mestilah mempelajari ilmu qiraat terlebih dahulu.

Mempelajari ilmu Qiraat dalam ilmu syariah penting dengan penggunaan nas-nas syara' di dalam al-Qur'an terhadap hukum yang bersifat umum (kulli) yang diutamakan dan kemungkinan nas-nas tersebut untuk menerima pelbagai pemahaman. Penggunaan nas-nas ini juga merupakan faktor keluasan dan kehebatan yang terdapat dalam syariat Islam. Ini adalah pandangan bagi Yusuf al-Qardhawi yang merupakan seorang professor yang diiktiraf sebagai pemikir Islam dan ulama' kontemporari.

Selain itu, kepentingan ilmu Qiraat sebagai keperluan asasi bagi pelaksanaan syariat Islam. Asasi bagi pelaksanaan yang perlu dilakukan bagi melaksanakan syariat Islam ialah salah satu daripada berkaitan dengan peranan al-Qur'an iaitu pelaksanaan ajaran Islam secara menyeluruh berdasarkan al-Qur'an dan as-Sunnah. Kesimpulan yang boleh dibuat ialah pentingnya peranan ilmu Qiraat dalam ilmu syariah bagi ahli fuqaha' untuk menentukan sesuatu hukum. Sesungguhnya ilmu Qiraat sebahagian ilmu al-Qur'an dan merupakan ilmu yang sangat luas.

FASAL 2 : PENGGUNAAN ILMU QIRAAT DALAM ILMU SYARIAH

Penggunaan ilmu Qiraat dalam ilmu syariah amat luas digunakan oleh ahli Fuqaha' untuk mendapatkan hukum melalui bacaan imam-imam Qiraat. Bukan sahaja ulama' fiqh malah ulama' tafisr, ulama' hadis ahli nahu dan sebagainya.

Dalam fasal ini, akan diterangkan penggunaan al-Qur'an sebagai sumber hukum. Tentu sekali keaslian ayat-ayat al-Qur'an ini boleh diyakini dan merasai kepastian ianya diriwayatkan kepada kita dalam bentuk yang asal sebagaimana al-Qur'an diturunkan dari Allah S.W.T. melalui perantaran malaikat Jibril A.S. kepada Nabi Muhammad S.A.W. Ini kerana ianya disampaikan kepada kita secara mutawattir, baik secara lisan atau penulisan. Sebagai hasil dari kedudukan dan sifat tersebut, al-Qura'an adalah suatu sumber hukum yang paling berautoriti alam Islam.

Ini kerana apabila ketetapannya daripada Allah S.W.T. mestilah ditaati dalam setiap masa. Walaubagaimanapun pengertian ayat-ayat al-Qur'an tersebut tidak semuanya jelas. Bahkan ada yang jelas (قطعية الدلاة) dan kurang jelas (ظنية الدلالة), seperti dalam firman Allah S.W.T. mafhumnya yang berbunyi :

" Dan orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka selama-lamanya; " ( Surah an-Nuur; 24:4).

Dalam ayat ini, perkataan 'lapan puluh' itu sangat jelas maksudnya. Begitu juga dengan perkataan 'selama-lamanya'. Ayat di atas berlainan dengan ayat-ayat lain yang kurang jelas maksudnya. Seperti perkataan 'quru' dalam firman Allah S.W.T. mafhumnya yang berbunyi:

" Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (quru')." (Surah al-Baqarah; 2:228)

Maksud tiga kali suci itu adalah haid daripada perkataan 'quru' tersebut. Oleh itu, pengertian tersebut adalah zanni atau kurang jelas. Tetapi tidak semua ayat-ayat al-Qur'an seperti firman-firman di atas. Dengan ilmu Qiraat jugalah dapat membantu ulama Fuqaha'.

Al-Qur'an menggunakan pelbagai gaya untuk menerangkan sesuatu hukum. Antaranya ialah memberi keterangan secara keseluruhan (kulli) iaitu dengan menyebut kaedah dan prinsip umum yang akan menjadi asas kepada hukum-hukum yang lebih terperinci. Selain itu, menerangkan hukum secara umum (ijmal) sehingga memerlukan keterangan dan perincian yang lebih lanjut. Seterusnya, keterangan secara lebih terperinci atau tafasili yang terdapat pada ayat-ayat menegenai hukum aqidah dan akhlak.

FASAL 3 : HIKMAH DAN FAEDAH

Impak ilmu qiraat dalam ilmu syariah mempunyai kesan yang membawa kebaikan yang sangat besar. Sama ada faedah itu dapat dirasakan atau sebaliknya. Begitu juga dalam perkara ibadat yang merupakan bidang ilmu syariah, ada yang dapat difikirkan dan sebaliknya. Impak ilmu qiraat dalam ilmu syariah amatlah bernilai bagi umat Islam seluruhnya.

Antara kesan kebaikannya ialah kita dapat menerangkan hukum yang telah diijma'kan. Contohnya ayat hukum tentang harta pusaka. Di dalam ilmu qiraat ada bacaan yang menerangkan tentang saudara lelaki dan perempuan dari pihak bapa atau ibu. Maka diterangkan qiraat oleh Saad bin Waqas bahawa saudara lelaki sebelah ibu walaupun qiraatnya adalah syaazah. Berikut maksud ayat tentang keterangan tersebut. Firman Allah S.W.T. Maksudnya:

" Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada sepertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan)." (Surah
an-Nisa', 4:12)

Kesan yang lain pula, menguatkan hukum yang khilaf. Selain itu, bagi memudahkan hafalan dan ingatan serta mudah diterima oleh umat Islam kerana ia mempunyai pelbagai bidang ilmu. Ia juga dapat menunjukkan kelebihan dan kemuliaan umat nabi Muhammad S.A.W. kepada umat yang lain.

Akhir sekali, dapat memahami segala aspek yang terkandung di dalam al-Qur'an dengan lebih luas dan mendalam terutamanya ilmu syariah di dalam ilmu qiraat dan al-Qur'an yang saling berkaitan. oleh itu, sesungguhnya banyak lagi impak kebaikan dalam ilmu syariah. Wallahua'alam... Andaikata ada tersilap kata di dalam penulisan ini atau sebarang komen, ana alu-alukan untuk dikongsikan bersama. Sesungguhnya ana bukanlah dari golongan yang bijak pandai hanya sekadar berkongsi ilmu apa yang ana telah kaji dan mengolah melalui sebahagian sumber rujukan kitab-kitab dari timur tengah. Mudah-mudahan dapat dimanfaatkan kepada semua lapisan masyarakat dan keredhaandari Allah S.W.T.. amiin.. InsyaAllah..!!

No comments:

Post a Comment